Masjid Kristal: Kemegahan Islam atau Suatu Pembaziran??

By KhALiF MuJaHiD
Atikel by: Prof Dr Mohamad Tajuddin Mohamad Rasdi (pensyarah seni bina di Universiti Teknologi Malaysia (UTM)
Sumber:
http://www.kalam.utm.my/publication/mosqueislamicarch/ia_article_2.pdf


Beberapa minggu yang lalu, di dada hadapan akhbar ini terpampang berita tentang sebuah Masjid Kristal yang akan di bina di suatu tempat di negara ini. Diberitakan bahawa masjid itu adalah sumbangan sebuah syarikat yang mempromosikan barangan dari kristal. Diberitakan juga masjid itu dianggarkan berharga RM 22 juta bagi menampung jumlah qariah seramai kira-kira 120 orang. Saya tertarik untuk memberi beberapa komen tentang apa yang disebutkan oleh laporan berita tersebut serta implikasi penerimaan pendekatan terhadap persepsi tentang peranan masjid dewasa ini.

Masjid untuk Pelancongan??

Pertama, di dalam laporan berita tersebut, Masjid Kristal itu dijangkakan akan menjadi elemen untuk menarik pelancong ke tempat peranginan tersebut. Di sini saya ingin mempersoalkan tentang sama ada umat Islam seluruh dunia bersedia menerima konsep masjid sebagai setaraf dengan pembinaan sebuah ‘resort’ atau sebuah ‘tugu’ contohnya tugu burung helang yang tersergam di Pulau Langkawi. Kita sering disajikan dengan pendekatan contohnya beberapa masjid yang setiap satunya berharga beratus juta ringgit sebagai asset negara bagi menarik pelancongan. Kalau kita sedia menerima pendekatan baru ini maka kita akan melihat banyak lagi masjid yang akan di bina dengan kos tinggi walaupun di waktu yang sama ada umat Islam di negara atau qariah tersebut yang berkeadaan kais pagi makan pagi dan kais petang, makan petang. Adakah umat Islam bersedia tidur nyenyak dibuai mimpi masjid-masjid indah semata-mata pelancongan sambil pada waktu yang sama kebajikan asas umat sendiri tersadai ditepian?

Berbaloikah??


Implikasi kedua penerimaan pendekatan ‘Masjid Pelancongan’ ini adalah besar kemungkinan masjid akan di bina di kawasan yang ‘romantik’ contohnya di tengah-tengah tasik atau lagun atau dipuncak-puncak bukit, atau di padang jarak padang tekukur semata-mata menyedap pandangan mata? Dalam hal sedemikian kita tidak lagi berkisah samada terdapat qariah yang optima atau tidak kerana perancangan masjid sudah terkeluar dari peranan asalnya sebagai pusat pembangunan masyarakat. Masjid kini dilihat semata-mata simbol kemewahan negara atau kekayaan palsu umat Islam.

Kisah Nabi

Pernah suatu kitika Rasulullah s.a.w. melihat para Sahabat berebut-rebut mengambil air wudhuk baginda. Baginda bertanya kenapa mereka berbuat demikian. Para sahabat menjawab bahawa mereka ingin memperlihatkan hormat mereka terhadap baginda. Rasulullah s.a.w. terus menjawab bahawa hormat kepada baginda adalah dengan cara mengikut sunnahnya dan bukan secara yang ditunjukkan mereka. Saya menginterpretasi bahawa Rasulullah s.a.w. tidak gemar kepada usaha menjadikan sesuatu ‘simbol’ kepada aspek-aspek Islam, apatah lagi kalau ia boleh ditafsirkan sebagai sesuatu yang boros.

Konsep Hakiki Ketamadunan


Kedua, laporan berita tersebut juga memuatkan komen pemberita tentang bagaimana masjid kristal ini akan memberi sumbangan besar terhadap ketamadunan dan kesenian Islam. Saya ingin mengingatkan pembaca bahawa konsep hakiki ketamadunan manusia adalah berdasarkan kepada keadaan manusia yang mempunyai nilai maruah kemanusiaan atau keinsanan yang tinggi serta daya pemikiran yang kritis. Ketamadunan tidak didasarkan kepada hasil produk semata-mata seperti bangunan atau arca. Jika pendekatan atau kefahaman pembinaan masjid yang mahal atau kerana hendak menonjolkan system konstruksi yang unik diterima, kita karus berhati-hati tentang apa sebenarnya ‘sumbangan’ yang diinterpretasikan oleh umat Islam dan bukan Islam.

Saya khuatir mesej bahawa Islam kegila-gilaan tentang objek kebendaan yang keterlaluan akan menjadi interpretasi popular di masa terdekat. Rasululah s.a.w. pernah mengajar umat Islam tentang menjimatkan air wudhuk walaupun pada sungai yang mengalir. Islam merupakan agama yang paling praktikal sekali apabila Rasulullah s.a.w. meninggalkan warisan bahawa seluruh bumi sebagai hamparan asas untuk sembahyang. Sesuatu kaum yang tidak mempunyai tempat tinggal khusus mampu mengkhususkan sebidang tanah dengan beberapa garisan sebagai batasan untuk dijadikan ia sesuci-sucinya masjid. Jangan pula umat Islam pewaris Islam mengenakan atau membayangkan sesuatu keperluan bangunan yang terlalu mahal sebagai suatu kawasan untuk berjemaah kerana ia bukan dari nilai-nilai sunnah yang ditinggalkan.



Anda bangga dengannya??

Sumbangan biar berpada

Walaubagaimanapun, niat syarikat kristal tersebut untuk membina masjid sebagai suatu sumbangan masyarakat adalah suatu usaha yang patut dipuji dan disanjungi serta sesuatu usaha yang harus dicontohi oleh semua syarikat dalam menghudupkan budaya wakaf. Tetapi biarlah sumbangan tersebut berpada-pada dan memberi ‘return’ atau pulangan yang tinggi mengikut lunas-lunas sunnah. Contohnya, kalau syarikat tersebut ingin menyumbangkan kristal sebagai promosi barangan pembinaan, tidak bolehkah ia mengagihkan sumbangan tersebut kepada dua puluh atau empat puluh buah masjid yang lain? Mungkin elemen yang dibina adalah suatu pintu gerbang dan pagar masjid serta elemen seperti pondok-pondok wakaf dalam lanskap masjid yang boleh digunakan oleh semua lapisan masyarakat termasuk yang bukan Islam. Dengan cara ini masaalah masjid bernila 22 juta untuk qariah berjumalah 120 orang (lebih kurang RM500,000 setiap jemaah) tidak timbul.

Saya rasa dari perspektif perniagaan pun lebih baik banyak orang mendapat manfaat dari segelintir jemaah sahaja agar ‘pengiklanan’ barangan tersebut akan menjadi lebih efektif. Selain dari membuat pembinaan syarikat tersebut juga boleh mendermakan beberapa juta ringgit kepada tabung yayasan Islam bagi memberi biasiswa kepada anak-anak umat Islam yang ada di antaranya tidak berupaya membayar yuran SPM di ‘negara Islam’ tercinta ini. Saya berasa sumbangan-sumbangan sedemikian adalah lebih optima bukan sahaja dari perspektif timbunan pahala yang lebih banyak tetapi suatu strategi ‘pemasaran’ nama syarikat tersebut yang lebih berkesan serta berpanjangan.

Akhir sekali, saya berasa tidak ada salahnya jika kita ingin ‘menyumbang sambik mengiklan’ serta mencapai sesuatu keadaan ‘win-win’ atau kebajikan bersama. Tetapi biarlah usaha murni mewakafkan sumbangan kepada ketamadunan Islam dibuat atas landasan yang optima dan hakiki dan bukannya semata-mata di atas landasan komersialisme atau pelancongan yang tidak terbatas.
 

0 comments so far.

Something to say?